Posts

Showing posts from May, 2025

Hijau: Antara Cahaya dan Bayang

Hijau: Antara Cahaya dan Bayang Hijau… warna yang lahir dari bumi, disemat aman dalam mata manusia. Hijau itu damai, penjaga angin, teman kepada hujan, bisik kepada jiwa yang hilang arah. Namun jangan salah baca, kerana hijau juga pernah berperang. Hijau pernah berdarah, di medan yang tak terlihat mata. Hijau pernah terluka, dipijak mereka yang mendamba teduh, tapi tak pernah benar-benar menghargai bayangnya. Hijau boleh memusnah, bila dia muak menjadi latar, bila dia bosan sekadar pelengkap. Hijau itu biasa… ya, begitu kata dunia. Tapi dalam diam, hijau menyimpan ribuan kisah— tentang kekuatan yang tak disebut, tentang kesetiaan yang tak dipuja. Kerana hijau bukan siapa-siapa. Tapi bila dia hilang… barulah langit terasa kosong, dan bumi kehilangan nadinya. - Luqman Hakiki

Lebih Baik Sendiri

Lebih Baik Sendiri Lebih baik sendiri, daripada janji yang indah di bibir, tapi retak dalam tindakan. Daripada luka yang hadir atas nama sayang, tapi beracun dalam diam. Lebih baik sendiri, daripada terperangkap dalam helah, dibalut manis, tapi kosong makna. Lebih baik sendiri, daripada memuaskan hati orang, hingga hati sendiri hilang arah. Lebih baik sendiri, daripada sesal yang menggigit jiwa, malam demi malam, tanpa penawar. Sendiri bukan kalah. Ia ruang — untuk pulih, untuk mengerti, bahawa damai tak selalu datang dari orang lain. Kadang, ia hadir bila kita memilih untuk tak lagi menyakiti diri sendiri. - Luqman Hakiki

Antara Warisan dan Pertimbangan

Antara Warisan dan Pertimbangan Sejak kecil kita diajar— kahwin itu mesti ada anak. Mesti ada zuriat, penyambung warisan, penerus generasi. Iya… seronok, seronok juga. Tapi akhirnya, kita yang menanggung tanpa sudah. Buka mata, jangan lepas. Jaga… dan terus jaga. Tapi bila menatap dunia hari ini, yang makin punah, makin pedih— terbit satu tanya dalam hati: Adilkah untuk mereka… dilahirkan dalam dunia yang kita sendiri masih rawat lukanya? Apakah kita sedang mencipta penutup kepada sejarah yang luka, atau benar-benar membentuk khalifah yang akan memperbaiki semula? Kerana bukan semua warisan itu legasi, dan bukan semua kelahiran itu beban— asal hadir dengan sedar, dengan doa, dengan iman. - Luqman Hakiki

Bara Yang Diam

Bara Yang Diam Hati membara, melihat tawa dan gemerlap mereka. Bukan iri, cuma luka yang belum sembuh sempurna. Kita pun ada sisi gelap, yang tak perlu ditayang, tak perlu dijerit ke langit. Cukup tahu, cukup rasa. Didik hati untuk diam, walau mulut gatal mahu bersuara. Biar aku saja tahu, di sebalik senyum ini, ada perang yang belum reda. Lebih baik menunduk, daripada menuding. Kerana kekuatan sebenar, bila yang gelap dalam diri, kita peluk – bukan lepas pada orang lain. - Luqman Hakiki